Gerbang Bakal Kaunselor

Wednesday, June 22, 2011

Cadangan wujudkan jabatan kaunseling

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang menubuhkan Jabatan Kaunseling bagi menjadikan bidang kaunseling di negara ini lebih berstruktur dan profesional.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, pelan strategik penubuhan tersebut akan dirangka dalam tempoh terdekat ini sebelum diserahkan kepada Kabinet.

Bagaimanapun tegas beliau, untuk menjayakan penubuhan tersebut, para pengamal kaunseling tempatan perlu berkemahiran, berdaftar dan memiliki Sijil Perakuan Amalan yang sah dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).

"Menerusi penubuhan Jabatan Kaunseling, kita akan dapat berkumpul di bawah satu bumbung mengatur pelan strategik bagi memantapkan perkhidmatan dan meningkatkan tahap profesionalisme kaunseling di negara ini.

"Ini memandangkan bidang kaunseling dan kaunselor memainkan peranan penting dan kritikal dalam pembangunan sosial negara dan mereka ini perlu diiktiraf.

"Tetapi saya masih tidak berpuas hati dengan pendaftaran di kalangan pengamal kaunseling di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kaunseling 2011 anjuran Persatuan Kaunselor Malaysia (Perkama) di sini hari ini.

Shahrizat berkata, sehingga kini hanya terdapat 2,194 kaunselor yang berdaftar dengan sejumlah 1,595 kaunselor lagi memiliki Sijil Perakuan Amalan sedangkan kecekapan para kaunselor adalah mustahak mengikut Akta Kaunselor 1998.

Dianggarkan terdapat lebih 7,000 lepasan ijazah, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang kaunseling yang masih belum mendaftar di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya Shahrizat berkata, kaunseling amat penting untuk mengembalikan aspek kemanusiaan memandangkan bidang tersebut melibatkan proses mental, pemikiran dan tingkah laku manusia yang menjadi teras kepada kekuatan diri individu dan masyarakat.

Justeru kata beliau, sudah tiba masanya persepsi bahawa perkhidmatan kaunseling ditawarkan untuk mereka yang bermasalah dan mampu membayar perkhidmatannya diubah kerana ia adalah untuk segenap lapisan masyarakat.

Beliau seterusnya mempelawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkama untuk membantu usaha kementerian memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko tinggi yang memerlukan sokongan khususnya kaunseling.

Jelasnya, ia termasuk mengenal pasti jenis permasalahan dan ahli keluarga yang memerlukan khidmat sokongan mengikut keperluan.


sumber dr : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

p/s : Oleh itu, pihak PERKUM menyeru kepada semua pengamal-pengamal kaunseling di Malaysia supaya berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan PERKAMA sendiri. Tidak ada sebarang kerugian jika anda berdaftar sebaliknya ia akan membuatkan bidang ini lebih dipercayai dan diiktiraf oleh masyarakat. Kerajaan sedia memberi jalan dan ruang kepada profesion ini namun semuanya terletak ditangan pengamal-pangamal kaunseling di Malaysia yang inginkan profesion ini terus maju dan berkembang dengan profesionalnya setaraf dengan bidang kaunseling di barat yang rata-ratanya dikenali dan setaraf dengan bidang-bidang profesional yang lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ikAn-ikAn belaan PERKUM