KUALA LUMPUR 21 April - Sesi kaunseling yang dijalankan secara profesional boleh membantu usaha menangani pelbagai masalah sosial termasuk gejala buang bayi dan penderaan kanak- kanak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sesi kaunseling seperti itu akan mendedahkan kepada golongan sasar tentang cara untuk menangani masalah dan menanamkan sikap bertimbang rasa serta bertanggungjawab.
"Sekali gus mereka yang terlibat akan mempunyai perasaan belas kasihan dan sedar sebelum melakukan sesuatu perkara serta akibat yang bakal dihadapi," katanya ketika berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagaimanapun, jelas beliau, sesi kaunseling tidak harus dihadkan kepada golongan remaja sahaja tetapi juga ibu bapa dan pemimpin masyarakat.
"Masalah tidak akan selesai jika ia tidak melibatkan semua peringkat masyarakat. Sesi kaunseling akan menyelesaikan masalah secara kolektif," katanya.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, orang ramai tidak perlu berasa malu untuk berjumpa pakar psikologi jika berasakan mereka mempunyai gejala berkaitan kesihatan mental kerana ia boleh ditangani jika dirawat sejak dari awal.
"Masyarakat perlu terbuka dan memahami tekanan hidup yang dihadapi masyarakat moden. Jangan sewenang- wenangnya melabelkan mereka sebagai orang yang tidak siuman atau orang gila," ujarnya.
Beliau berkata, pencegahan melalui hukuman semata-mata tidak akan berkesan kerana ia hanya melibatkan pesalah dan pihak berkuasa tetapi tidak kepada masyarakat keseluruhannya.
Baginya, hukuman merupakan fasa terakhir dalam menangani masalah berkaitan.
Dalam pada itu Lam Thye turut memuji kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro serta Karyawan kerana program yang dijalankan melibatkan semua lapisan masyarakat.
No comments:
Post a Comment